Search This Blog

Wednesday, June 23, 2010

Kisah Seribu Orang Makan Segantang Gandum yang Dibuat roti


Jabir r.a. berkata: “Suatu hari tatkala penggalian parit pertahanan Khandaq sedang dilakukan, maka aku lihat Rasulullah dalam keadaan yang sangat lapar. Aku balik ke rumah bertanya kepada isteriku jikalau ada apa-apa yang boleh kami masak untuk Rasulullah.

Jawab isteriku: “Aku fikir kita ada segantang gandum dan seekor kambing muda.” Maka aku sembelih kambing tersebut sementara isteriku menyediakan adunan untuk memasak.

Apabila telah selesai semuanya, aku pun pergi mendapatkan Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah aku harap tuan tidak keberatan datang bersama beberapa orang sahabatmu ke rumahku kerana aku membuat sedikit kenduri. Sebelum itu isteriku telah memberitahuku supaya jangan memalukannya kerana hidangan hanya cukup untuk beberapa orang sahaja.”

Apabila mendengar jemputan dari Jabir, Rasulullah pun berkata kepada semua orang yang bekerja menggali parit tersebut, “Hai orang-orang Khandak! Hari ini Jabir membuat hidangan untuk kita semua. Oleh itu, bolehlah kita makan bersama-sama.”
Sebelum Jabir balik ke rumah,Rasulullah berpesan kepada Jabir, “Wahai Jabir, jangan kamu turunkan kualimu dan jangan kamu masak dulu adunan rotimu sebelum aku datang.” Lalu aku pun pulang.

Tidak lama kemudian, Rasulullah pun datang bersama orangnya seramai seribu orang. Apabila isteriku melihat hal itu, segera dia berkata,” Apa yang harus kita lakukan! Orang terlalu ramai. Bukankah aku sudah katakan, jangan memalukan aku di hadapan Rasulullah.” Semantara itu aku telah lakukan sebagaimana yang Rasulullah suruh.

Maka aku keluarkan roti lalu diberkati Rasulullah. Kemudian Rasulullah pergi ke tempat memasak kambing lalu diberkatinya. Setelah itu Rasulullah memberitahu isteriku, “ Panggillah pembuat roti untuk membantumu. Kemudian cedukkan kuah terus dari kuali ke dalam mangkuknya. Jangan sekali-kali turunkan kuali dari tempatnya.”

Setelah siap, lalu makanlah semua orang yang datang tanpa ada yang tidak cukup, malah mereka makan dengan cukup kenyang.

Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa setelah mereka balik, kualiku tetap penuh seperti sediakala dan begitu juga adunannya yang sama banyak seperti sediakala.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...