Search This Blog

Saturday, February 27, 2010

Sepohon Epal yang rendang

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar dan rendang. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya dan adakalanya dia berehat lalu terlela di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu. Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan." Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih lantaran kesunyian.

Masa berlalu... Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.




Sebenarnya, pokok epal yang dimaksudkan di dalam cerita adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup. Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu bersikap kejam terhadap pokok epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah jasa ibu bapa kepada kita sepanjang masa, bukanlah hanya semasa kita sudah tiada daya. Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut hari ibu dan hari bapa setiap tahun. Semoga memberikan keinsafan dan kesedaran kepada remaja kita.

Wednesday, February 24, 2010

Darul Taqwa - negara harapan rakyat....(finale)

"Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram. "Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital! "Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."

"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma. Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip.

Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT,ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.

Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: Raja'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..." "Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu.

Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji, "Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema .... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta.......stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran. "Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah." "Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri." " Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka." "Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah Tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :"KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. isy,meluatnya!Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum.

Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus....

"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu."Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr. Johar."Tidak, Datuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya..." "Habis, mereka mahu apa?" "Mereka mahu Islam, Datuk!" "Islam? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.




NOKTAH...dakwat terakhir yang tumpah ke kertas insan itu. Sambil menghadap matahari yang kian malu menunjuk diri, insan itu dengan berkobar menjerit di dalam stanza hatinya....

~ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI~

Monday, February 22, 2010

Darul Taqwa - negara harapan rakyat....(bhg 2)

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada. "Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan zahir dan batin bandar ini." Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..." Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berkata kepada pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ...Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan : "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al-Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!" Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri.

Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.




"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki." "Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!". Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih. "Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..." "Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya ! Apa peliknya?", "Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas. "Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja "Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ...malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.Oh...! keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik.


bersambung....

Sunday, February 21, 2010

Darul Taqwa - negara harapan rakyat....(bhg 1)

Saat seorang insan termenung menghadap matahari yang semakin menundukkan cahayanya, dihiasi nelayan-nelayan yang pulang dengan senyum tua. Dia teringat akan turutan peringkat di dalam dakwah yang bermula dengan Individu Muslim, Baitul Muslim dan seterusnya hingga ke akhir iaitu Ustaziatul Alam(UA). UA ini merupakan peringkat yang tertinggi di mana Islam menjadi asas kepada umat seluruh alam. Semangat jihadnya tiba-tiba berkobar-kobar membayangkan sesuatu yang tidak pasti bila terjadi tetapi pasti akan terjadi.........




"Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan. "Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu sebahagian daripada iman."

Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. “Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini." “Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.

Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. "Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya. Teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikiran Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman....Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku? “Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja.“

“Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?” tanyanya angkuh. "Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. "Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu? " Tanya pegawai itu pula. “Aku yang gila, atau dia yang gila?” Detak hati Datuk Dr. Johar.

Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."


bersambung....

Wednesday, February 17, 2010

Baitul Muslim

Baitul Muslim boleh didefinisikan sebagai rumah Muslim iaitu sebuah institusi rumah tangga yang berasaskan Islam. Bila berbicara tentang BM ni ramai yang senyum tersipu-sipu kononnya BM ni adalah untuk perbualan orang yang sudah sampai masanya. Sebijiklah dengan perkara yang terjadi sewaktu hari terakhir di MHi, bilamana abg Khairul ringan mulut untuk berkongsi tentang BM maklumlah beliau sendiri akan ke jinjang pelamin.

Perkongsian yang mantap gabungan abg Khairul, kak Hana' serta pasangan suami isteri, Pakcik Amran dan Makcik Salmi. Sedikit ilmu dapat penulis ambil sebab penulis sendiri tidak memandang serius BM ni. Yang kelihatan semangat ialah sedikit ikhwah dan ramai akhawat. Entah apa sebabnya, mungkin ikhwah ramai yang sudah balik(husnu zhon). Kursus BM ini sekali lagi dikongsikan semasa di Sarawak dalam program R2B, berkongsi pengalaman bersama Akh Faiz Sahri dan Ikhwah Bintulu yang lain. Masa berlalu pergi hingga berakhirlah MHi dan R2B.

Sedang penulis berehat menikmati cuti di rumah, ayah dan bonda mengajak ke satu forum yang dipanel oleh novelis dan pengarah filem yang terkenal iaitu Ustaz Habiburrahman el-Shirazy dan seorang lagi panel merupakan penulis buku "Aku Terima Nikahnya" yang cukup digemari oleh para belia masa kini iaitu Ustaz Hasrizal Abd Jamil.









Forum yang diadakan dengan bi'ah solehah pada 17 Februari 2010 di Universiti Teknologi Petronas, Perak membincangkan tentang satu tajuk yang membuat penulis sendiri senyum tersipu-sipu. Pada mulanya, penulis sendiri tidaklah terlalu berminat untuk hadir, tetapi gesaan ayah bonda yang menggunakan hujah 'panduan masa akan datang' memaksa penulis pergi dengan rela.

Antara point-point yang menarik yang dilontarkan oleh 2 panel tersohor ini yang sempat penulis memberi perhatian:(ringkasnya)

1. "Kurangkan mencari, banyakkan menjadi". Dalam erti kata yang lain, sebagai seorang Muslim, kurangkan mencari yang solehah tetapi banyakkan menjadi yang soleh moga-moga solehah tertarik kepada yang soleh. Begitulah sebaliknya, kurangkan mencari yang soleh tetapi banyakkan menjadi yang solehah supaya yang soleh tertarik kepada yang solehah.

2. Solat istikharah mempunyai seorang sahabat karib iaitu istisharah(berusaha). Maka, seseorang Muslim itu mestilah istisharah sehabis daya sebelum melakukan istikharah dalam usaha mendapatkan pasangan hidup yang solehah dan memenuhi kriteria.

3. Cinta yang Islamik adalah mereka yang bercinta kerana TAQWA kepada Allah SWT. Jadi, bagi mereka yang bercouple dengan menggunakan alasan mengingatkan antara 1 sama lain terhadap Islam, fikir-fikirkanlah samada kita di jalan yang benar ataupun salah. Adakah alasan itu hanya sebagai pengabur kebenaran yang dikaburkan syaitan.

4. Rasulullah SAW bersabda(lebih kurang maksudnya), "Seseorang perempuan atau lelaki dinikahi kerana 4 perkara - harta, kecantikan, kedudukan sosial atau agama. Sesiapa yang mahu kebahagiaan dunia dan akhirat, dahulukanlah agama"

5. Poligami diciptakan oleh Allah SWT sebagai satu hikmah untuk resolusi manusia. Jadi, tidaklah poligami itu boleh digunakan oleh golongan adam sebagai satu kelebihan. Poligami itu sendiri adalah satu rukhsah(perlu diambil jika perlu), bukanlah satu azimah(sesuatu yang mesti diambil jika berpeluang), jadi poligami mestilah pada tempatnya kerana boleh jadi ia adalah haram kerana sebabnya dan boleh jadi juga ia adalah wajib kerana sebabnya.

Inilah sedikit-sebanyak yang dapat penulis berkongsi dari forum RM5 ini. Murah dan berbaloi....

Tuesday, February 16, 2010

Wasiat as-Syahid Imam Hassan al-Banna

1. Wahai sahabatku segeralah tunaikan solat pada awal waktu sewaktu mendengar azan walau dalam keadaan apa sekali pun. Di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan dan di situ juga ada sumber taufik.

2. Wahai sahabatku...bacalah Al-Quran, tatapilah buku ilmu dan pergilah ke majlis ilmu. Selalulah berzikir, berzikir dan terus berzikir dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

3. Wahai sahabatku berusahalah bertutur dalam bahasa Arab yang betul.

4. Wahai sahabatku janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi apa-apa.

5. Wahai sahabatku janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu tenang lagi tenteram.

6. Wahai sahabatku janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Wahai sahabatku janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia dan ia menyakitkan hati orang.

8. Wahai sahabatku jauhilah daripada mengumpat hal peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang membawa kebajikan.

9. Wahai sahabatku berkenal-kenalalah dengan setiap umat manusia yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu ayuh sahabat! Gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaanya. Sabda Nabi saw, "Bersegeralah ke arah melakukan amal. Sayangilah masa saudaramu dan hormatilah waktu mereka."

Saturday, February 13, 2010

Tiada yang sempurna

Ini kisah perjumpaaan dua orang sahabat yang sudah puluhan tahun berpisah. Mereka amat merindui antara satu sama lain, berbual, bersenda sambil minum kopi di sebuah cafe.Awalnya topik yang dibicarakan adalah soal2 nostalgia zaman sekolah dulu, namun pada akhirnya menyangkut kehidupan mereka sekarang ini.

"Mengapa sampai sekarang kamu belum menikah?" ujar seorang kepada temannya yang sampai sekarang masih membujang.

"Sejujurnya sampai sekarang ini saya masih terus mencari wanita yang sempurna. Itulah sebabnya saya masih membujang. Dulu waktu saya di Utara, saya berjumpa dengan wanita yang cantik yang amat bijaksana. Saya fikir inilah wanita ideal untuk saya dan sesuai menjadi isteri saya. Namun belakangan selepas itu pada masa berpacaran baru aku tahu dia sebenarnya amat sombong. Hubungan kami putus sampai disitu.

Di Ipoh saya ketemu seorang perempuan yang cantik jelita ,ramah dan dermawan. Pada perjumpaan pertama aku begitu takjub dan seronok. Hatiku berdesir kencang, inilah wanita idealku. Namun selepas itu baru saya tahu, ia banyak tingkah laku yg tak baik dan tidak bertanggung jawab.

Dan ketika aku di JB, aku bertemu wanita yang manis, baik, periang dan pintar. Dia sangat menyenangkan bila diajak berbicara, selalu menyambung perbualan kami dan penuh humor. Tapi terakhir aku ketahui kalau dia dari keluarga yang berantakan yakni berpecah belah dan selalu menuntut sesuatu yang kita tidak mampu memenuhinya. Akhirnya kami berpisah.

Saya terus mencari, namun selalu mendapatkan kekurangan dan kelemahan pada wanita yang saya temui. Sampai pada suatu hari, saya bersua dengan wanita ideal yang saya dambakan selama ini. Ia begitu cantik,pintar, baik hati, dermawan dan penuh humor. Dia juga sangat perhatian dan sayang kepada orang lain. Saya fikir inilah pendamping hidup saya yang dikirim oleh Tuhan untuk saya".

"Lantas", sergah temannya yang dari tadi tekun mendengarkan "Apa yang terjadi? Mengapa kamu tidak terus meminangnya?". Yang ditanya diam sejenak dan akhirnya dengan suara perlahan si bujang itu menjawab,

"Baru sekarang aku mengetahui bahawa ia juga sedang mencari lelaki yang sempurna".


- Coretan ini tiadalah kaitannya dengan yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Hanyalah pengingat kepada kita sebagai manusia, yang tiada diciptakan sempurna kecuali Rasulullah SAW. Jadi, mestilah senantiasa kita berusaha memperbaikkan diri dan bersyukur atas apa sahaja yang dikurniakan Allah kepada kita kerana segalanya diakhiri hikmah tersendiri.

Thursday, February 11, 2010

Lawak Ngeri...

Suatu hari pada masa sembahyang Jumaat yang dihadiri oleh lebih kurang 1,000 jemaah... tiba-tiba masuk dua orang lelaki yang menutupi seluruh tubuhnyer dengan pakaian hitam.. tak nampak apa cuma dua biji mata and membawa mesin-gun... lalu salah seorang lelaki tu bertempik:

"Sesiapa yang sanggup MATI kerana ALLAH sila berdiri di tempat kamu"

Selepas mendengar amaran lelaki itu maka segeralah bertempiaran lari para jemaah itu untuk menyelamatkan diri.... daripada jumlah yang 1,000 tadi tu hanya tinggal lebih kurang 20 orang sahaja yang masih berdiri di tempat masing-masing termasuk Pak Imam tu...

Lelaki yang bertempik tadi segera membuka tutup mukanya lalu melihat ke arah Pak Imam sambil berkata:

"Ok Pak Imam, saya dah halau SEMUA yang hipokrit, sekarang bolehlah Pak Imam mulakan sembahyang Jumaat". Lalu kedua lelaki duduk dan menyertai jemaah itu...


- Macam mana?...adakah anda rasa lawak dengan cerita di atas. Selain terhibur anda fikirlah...

"Lawakkan, dari 1,000 orang yang mengaku dia Islam hanya 20 yang betul-betul beriman, tak kira lagi yang ingin jadi extremis atau aktivis dalam dakwah... "

"Lawakkan berapa banyak manusia yang mudah lupakan ALLAH bila menghadapi bahaya... kedua lelaki hanya membawa mesin-gun, dia tak kata pun nak bunuh, tapi generasi sekarang amat lemah, baru kena ugut terus lari lintang-pukang, lupa yang dia tak sembahyang Jumaat lagi..."

"Lawak, ada juga yang agamanya cuma seminggu sahaja.. tu pun bila time sembahyang jumaat.. tunjuk muka kat orang kampung.. ada tu lagi dashyat setahun 2 kali aje.. bila time sembahyang raya..."

"Lawakkan, ramai orang percaya kepada gossip dan apa yang di tulis oleh surat khabar daripada apa yang tercatit dalam al-Quran.."

"Lawakkan, kita boleh bersembang dengan boyfriend atau girlfriend berejam-rejam tapi nak berdoa kepada ALLAH alahai.. tak cukup masa.."

"Dan lebih lawak lagi, bila kita boleh post banyak thread atau email yang berunsur lawak jenaka dan lucah kesemua tempat tapi merasa berat nak berkongsi dan nak hantar artikel2 yang berunsur agama.."

Kenapa gelak?? Tu kan realiti.. tapi yang paling lawak sekali.. berapa orang yang lepas baca benda ni, akan ambil iktibar dan cuba sampaikan kat orang lain...

Al-Fatihah....

Surah Al-Fatihah bererti surah pembuka kata iaitu surah yang pertama di dalam Al-Quran mengandungi tujuh ayat. la digelarkan "Ummul-Quran" (Ibu Al-Quran) kerana ia mengandungi secara ringkas dasar-dasar keseluruhan kandungan.

Semenjak zaman Rasulullah SAW dan para ulama kemudiannya telah mengamalkan membaca Surah ini pada setiap majlis agama dan berdoa. Memang isi kandungan Surah Al-Fatihah pun merupakan doa yang sangat berfaedah bagi setiap orang Islam. Di antaranya ialah untuk memohon pertolongan dan pertunjuk Allah kepada jalan yang lurus (benar) dan bukan jalan yang menyesatkan.

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Fatihah ini. Di antara sabda baginda bermaksud:

• "Membaca Fatihah kitab (Al-Quran) mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al-Quran."

• Amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhuk dan ditiupkan pada air lalu diminum selama tujuh hari. Insya-Allah akan mudah memperolehi ilmu pengetahuan di samping itu dapat mengawal hati dan fikiran daripada perkara-perkara yang maksiat.

• Amalkan membaca Al-Fatihah semasa hendak tidur, diikuti membaca Surah Al-Ikhlas tiga kali. Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya-Allah akan aman tenteram dan jauh dari gangguan syaitan.

• Bagi mereka yang mempunyai hajat yang baik, termasuk untuk mendapat kenaikan pangkat/darjat, untuk mendapat rezeki yang lumayan dari keadaan fakir, untuk dapat menyelesaikan hutang, untuk menyembuhkan penyakit, agar anak menjadi soleh maka hendaklah memohon kepada Allah SWT dengan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali setiap hari. Waktunya ialah di antara solat sunat Subuh dan solat fardhu Subuh (Afdhal). Amalkan amalan ni sehingga 40 hari, Insya-Allah hajat kita akan dikabulkan Allah SWT.

• Amalkan membaca Al-Fatihah sehanyak 20 kali setiap lepas solat fardhu, insya-Allah akan memperolehi nikmat yang lumayan.

• Untuk membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudah segala urusan hidup serta terhindar dari segala kesulitan, amalkan membaca Al-Fatihah sehanyak 41 kali semasa makan sahur, Insya-Allah akan dimakbulkan Allah SWT.

• Sesetengah ulama menganjurkan membaca Al-Fatihah sehanyak 40 kali setiap lepas solat Maghrib dan sunatnya untuk memohon sesuatu yang baik kepada Allah SWT. Insya-Allah hajatnya akan termakbul.

• Dianjurkan juga amalan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, insya-Allah dapat mcngubati sakit mata, sakit gigi, sakit perut dan lain-lain. Demikianlah di antara banyak lagi fadhilat membaca Surah Al-Fatihah.

Jadi, perbanyakkanlah membaca Al-Fatihah....

Wednesday, February 10, 2010

...................kg?

Pada suatu pagi yang berbayu sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun melambai keriangan mengikut sapaan bayu yang tidak jemu menenangkan jiwa. Kelihatan seorang abang bercankung dalam lumpur sambil termenung ke langit biru, seperti berfikir tentang suatu perkara yang mustahil dicapainya. Tiba-tiba...

"Abang berat abang berapa? Mesti berat punya, sampai betis pun tenggelam dalam lumpur", si adik yang berumur 8 tahun bertanya.

Si abang yang berumur 10 tahun lebih tua tersenyum sambil memandang kaki adiknya yang hanya tengelam sampai buku lali.

"Berat abang 23kg je"

"Tipula! Mesti berat lagi, sebab berat adik pun 25kg. Berat abang mesti 26kg"

Si abang tersenyum lalu ketawa sehingga menampakkan barisan giginya yang putih. Si adik terus menggaru kepala hairan melihat abangnya ceria.


p/s: Hanyalah sebuah cerita pembuka blog ni. Semoga terhibur dan mendapat ibarah yang mungkin tersembunyi sedikit di sebalik kisah singkat ini.....Kisah ini merupakan olahan sedikit dari kisah benar.

- adik(8 tahun, 25kg)
- abang(18 tahun, 26kg??)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...